Dari Makkah ke Penjara Kajang

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Tajuk: Dari Makkah ke Penjara Kajang

Penulis: Zanuddin Salleh

Penerbit: Khutub Kata

Bil halaman:

Harga: RM35.00

Ulasan

Dikenakan hukuman penjara 28 hari akibat kesalahan menghina mahkamah, penulis merakamkan pengalamannya menghuni Penjara Kajang dikelilingi rakan banduan daripada pelbagai latar belakang dan kes.

Penulis berpeluang berkenalan dengan mereka yang berpangkat besar yang disabitkan rasuah, yang menyamun harta isteri, yang juvana membunuh rakan dengan parang. Lain-lain banduan kebanyakannya terlibat kes dadah.

Penulis ditahan dan dibawa ke penjara selepas baru sahaja kembali ke tanah air setelah menunaikan haji.

Jadi kisah dalam buku ini selain daripada perkongsian pengalaman sebagai banduan, sedikit sebanyak adalah berkenaan pandangan penulis, yang saya kira lebih kepada cadangan penambahbaikan perkhidmatan Tabung Haji di Makkah dan juga di penjara sendiri.

Membaca naskhah ini membawa kita merefleksi diri sendiri, mensyukuri nikmat yang diberi, dalam masa yang sama mengingatkan kita supaya berhati-hati sama ada secara lisan atau tulisan yang dikongsi pada umum.

“Aku cuma menyampaikan apa yang diperkata oleh rakyat dan orang ramai melalui penulisan sedang jika tidak melalui penulisan ini rakyat tetap juga berbicara di warung kopi atau rumah kopi.

Oleh kerana aku kedepan dengan penulisan yang dikatakan dibaca oleh ramai orang maka tindakan aku telah dikatakan menyalahi undang-undang, oleh kerana itu aku terpaksa menerima hukuman melalui undang-undang yang telah ditetapkan.”

Penulis yang menggunakan nama pena Hj. OB ini menulis secara aktif sejak 1995 di laman web, portal berita dan blog berkenaan kemasyarakatan, agama dan permotoran sebelum beralih kepada penulisan politik.

#zailareads #zailareads2018 #malaysiamembaca #darimakkahkepenjarakajang #khutubkata #ulasanbuku #resensibuku #reviewbuku

Advertisements

Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Judul: Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri (Edisi Khas)

Pengarang: Za’ba

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Cetakan: Kedua, 2016

Bilangan halaman: 158

Harga: RM15.00

ULASAN

‘Kehidupan kita dalam dunia ini ialah kehidupan beramal dan bekerja, kehidupan berjuang dan berlawan-lawan seperti dalam perlumbaan. Tiap-tiap seorang hendaklah menjalankan bahagiannya sendiri dengan tidak bergantung kepada orang akan menyempurnakannya. Ia sendiri mestilah merasa bertanggungjawab bagi menyempurnakan kewajipan dirinya dan tanggungan dirinya dalam perjuangan dan perlumbaan itu. Maka yang akan menang dalam perlumbaan itu hanyalah orang yang tetap, tekun, dan sabar menjalankan kerja-kerja kewajipannya itu dengan bergantung kepada ikhtiar dan daya upaya dirinya sendiri, dan memohon pertolongan hanya kepada Allah sahaja.’

Kata pembuka Za’ba pada halaman pertama sahaja sudah terasa seperti ditampar berkali-kali. Sesekali masyarakat khususnya Melayu, perlu disedarkan dan dibangkitkan kembali jati diri dengan naskhah yang berani begini walaupun diakui agak berat untuk diterima kebanyakan orang Melayu sendiri. Namun itulah hakikat yang harus diterima. Untuk terus ke depan, setiap orang Melayu wajib khatam dan hadam isi buku ini.

Karya Za’ba ini sebenarnya telah lama ditulis namun beliau tidak menghantarnya kepada mana penerbit semasa hayatnya. Setelah lapan tahun, barulah pihak DBP mengambil inisiatif menerbitkan buku ini dengan cetakan pertama pada tahun 1982. Seterusnya Edisi Khas Cetakan Pertama 2009 dan Cetakan Kedua 2016.

Dalam Edisi Khas, bahagian Pengenalan ditulis oleh Prof. Emeritus Dr Asmah Hj Omar.

Buku ini mengandungi dua risalah. Risalah kedua membincangkan Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri (yang diangkat sebagai judul buku) yang terdiri daripada empat bab. Bab-bab tersebut adalah Wajibnya bagi Mendapat Kejayaan, Kekurangan Kita dalam Sifat Ini, Fikiran, Kepercayaan dan Pegangan Agama, Bersendiri pada Ilmu dan Amalan.

Dalam Risalah ketiga bertajuk Kebajikan dan Kejahatan pula terdiri daripada empat bab juga iaitu Fahaman yang Luas, Baik dan Jahat Tetap Ada, Fahaman yang Sempit dan Kejatuhan Umat Islam dan Jalan Kepulihannya.

Orang zaman sekarang mungkin agak sukar untuk memahami bahasa buku ini pada mulanya namun jika dibaca semula, ia lebih mudah. Tidak dinafikan bahasa yang digunakan Za’ba adalah bahasa lazim pada zamannya lebih 80 tahun lalu, cuma kedengaran pelik pada orang pascamoden.

Dalam bab Wajibnya bagi Mendapat Kejayaan, Za’ba menyatakan perangai bergantung pada diri sendiri ini antara sifat kelebihan yang membawa ketinggian umat dan kemajuannya. Jika banyak orang yang bekerja dengan usaha yang kuat dan cergas, maka kuat dan cergaslah bangsa¬† itu.

Pemikiran beliau yang berlandaskan firman Allah dalam al-Quran dikupas dengan jelas. Beliau menekankan betapa gejala bertaklid buta (pengikut buta tuli) sangat merugikan masyarakat. Gejala ini berlaku dan berleluasa akibat kekurangan ilmu pengetahuan dan mudah terikut-ikut tanpa pendirian sendiri.

Beliau juga sangat tidak bersetuju tentang kebergantungan kepada orang lain untuk kesejahteraan akhirat diri. Contohnya memohon doa dari orang lain, sedangkan diri sendiri tidak melakukan amal ibadat seperti yang diperintahkan Allah.

 

 

 

 

 

Artikel Pertama di The Vocket

Teks: Zailahafni

Topik berkenaan overnight oat merupakan artikel pertama saya yang disiarkan di portal The Vocket. Memang sangat teruja dan merupakan pengalaman manis melihat hasil tulisan keluar di laman web popular.

Saya hanya mencuba nasib menghantar beberapa artikel kepada editor The Vocket, Cikpuan Diyana AR. Alhamdulillah diterima.

Dengan sedikit penambahbaikan, artikel saya tersiar, boleh baca di sini:

https://www.thevocket.com/apa-itu-overnight-oat/

Mihun, Meehoon atau Bihun?

Teks: Zailahafni

Kesilapan ejaan pada jenis-jenis makanan memang mudah sangat kita nampak, bukan?

Lagi-lagi di pasar malam, pasar tani, bahkan di pasar raya besar pun ada.

Pada saya, kesalahan di tempat awam begini patut diperbetul supaya secara tidak langsung, jika ejaan yang betul digunakan, akan beri kesedaran kepada orang awam yang membaca label tersebut.

Saya senaraikan antara makanan yang sering menjadi kekeliruan ejaan:

1. Mihun, meehoon, meehun – SALAH

Bihun – BETUL

2. Koay teow, kuetiow – SALAH

Kuetiau – BETUL

3. Serunding – SALAH

Serondeng – BETUL

4. Mee – SALAH

Mi – BETUL

Nanti saya tambah lagi senarai ini.

Sumber Rujukan Bahasa untuk Penulisan

Teks: Zailahafni

Dalam penulisan bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris), saya menjadikan laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu sebagai sumber rujukan utama.

Selain mudah mencari maklumat makna kata, cara penggunaan yang betul, ejaan yang tepat, PRPM juga senang diakses asalkan mempunyai talian internet. Jika tidak berjumpa sesuatu yang dicari barulah saya akan rujuk kepada kamus dalam talian yang lain dan kamus bercetak.

Saya gunakan PRPM sejak bekerja lagi. Dulu, jika server PRPM down, susah juga kami editor nak menyiapkan kerja. Namun, pada kebanyakan masa PRPM sangat membantu dalam memudahkan proses penulisan, penyuntingan dan pembacaan pruf.

Jika diteroka lebih dalam, fungsi PRPM agak meluas juga untuk dimanfaatkan. Maklumat di bahagian Khidmat Nasihat juga boleh dirujuk, kadangkala soalan dalam minda kita turut menjadi persoalan orang lain, bezanya orang lain sudah bertanya kepada pihak PRPM atau DBP terlebih dahulu. Jadi kita boleh dapatkan maklumat dari situ.

Untuk Bahasa Inggeris juga boleh merujuk kepada PRPM. Ia tidak terhad kepada Bahasa Melayu sahaja.

Untuk ke laman PRPM, sila ke pautan ini:

Pusat Rujukan Persuratan Melayu

www.prpm.dbp.gov.my

Buku Pertama Saya

Teks & Foto: Zailahafni

Tahun ini bermula dengan khabar yang saya menggembirakan, apabila dimaklumkan bahawa manuskrip saya diterima untuk buku Kisah Kanser.

Saya terpanggil untuk menulis dan berkongsi kisah arwah emak yang menghidap non-Hodgkin lymphoma, sejenis kanser limfoma.

Tak saya sangka walaupun menghantar manuskrip pada saat akhir, menulis sepantasnya kemudian terus e-mel tanpa pengharapan tinggi.

Alhamdulillah diterima dan selepas dua kali semakan, buku pertama tulisan saya, hasil penulisan bersama dengan 21 penulis lain diterbitkan.

Buku kisah kanser ini diberi tajuk Projek Lavender, sempena warna lavender yang digunakan untuk kempen kesedaran kanser.

Cetakan pertama pada Mac 2018, kemudian Mei 2018 dan terbaharu cetakan ketiga November 2018. Cetakan ketiga ini dikemas kini dan diubah kulit muka depan yang lebih segar.

Pada awalnya saya agak keberatan berkongsi kisah arwah emak. Saya mahu simpan sahaja memori menjadi penjaga emak, dan segalanya tentang penyakit emak. Lagipun emak dah pergi lama dulu, sudah 24 tahun. Boleh disimpulkan saya mahu kuburkan sahaja kenangan yang kurang indah semasa emak menanggung sakit namun saya memikirkan lebih baik saya berkongsi untuk sebarkan kesedaran tentang kanser khususnya kanser limfoma.

Juga, untuk mengabadikan kenangan bersama emak. Selain mengubat kerinduan setelah emak meninggalkan kami sekeluarga.

Saya gagahkan diri menulis kisah sebagai penjaga pesakit kanser, waktu itu saya baru berusia 12 tahun. Mengenang kembali zaman berkampung di Hospital Universiti, berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang, Butterworth. Dalam masa yang sama menjaga arwah ayah juga di wad hospital yang sama.

Kenangan yang amat menyebakkan.

Saya dedikasikan buku Projek Lavender ini untuk arwah emak saya yang tercinta.

Saya hanya pinjam semangatnya untuk siapkan manuskrip ini dan akhirnya saya ada buku sendiri. Alhamdulillah!

Terima kasih kepada Dua Penulis PLT kerana memilih kisah saya. Dengan ini impian untuk ada buku pertama hasil tulisan sendiri tercapai.

Saya kini dalam usaha menulis untuk buku kedua (juga kerjasama dengan penulis lain) selain beberapa ebook dan modul.

Tahun 2018 tahun menulis. Tulis sampai jadi.

Entri Pengenalan: Biodata

Teks & Foto: Zaila Hafni

Nama diberi Hifzaila. Boleh panggil saya Hif atau Zaila, mana sahaja yang lebih mudah.

Saya mendapat pendidikan awal di SK Permatang Bertam, Kepala Batas. Kemudian ke SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang dan SMK Convent Father Barre, Sg Petani, Kedah untuk pendidikan menengah. Seterusnya menyambung pengajian Matrikulasi Sains Hayat di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan sebelum meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Biologi Persekitaran (USM Pulau Pinang) dan Master Alam Sekitar (UPM Serdang).

Pekerjaan pertama, sebagai Pembantu Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM. Sempat bekerja selama 9 bulan setelah tamat kontrak dan mendapat tawaran kerja sebagai Editor Sains dan Biologi di Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Times Publishing.

Kemudian saya berkhidmat seketika di Penerbit Ilmu Bakti, sebelum berhenti dan bergerak sebagai editor bebas hingga kini.

Saya memulakan bisnes pertama secara online sekitar tahun 2014 dengan bisnes networking, dalam masa yang sama menjadi ejen dropship produk buku dan ebook. Saya turut menjadi Pengurus Online di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) yang menguruskan penjualan ebook dan pendaftaran kelas-kelas online.

Saya memang minat membaca sejak kecil, agaknya sebab didedahkan dengan buku dan perpustakaan oleh arwah ayah sedari awal. Jadi koleksi buku agak banyak dengan pelbagai genre. Saya juga minat bidang fotografi, selain penulisan.

Saya berpengalaman hampir 12 tahun dalam bidang penerbitan, dengan fokus kepada penulisan manuskrip, penyuntingan (editing), pemurnian naskah, penterjemahan dan pembacaan pruf.

Buku yang saya suka baca biasanya bukan fiksyen, seperti pembangunan diri, keagamaan, keibubapaan, motivasi dan psikologi. Sesekali ada juga saya baca novel, buku berkaitan pengurusan kewangan dan bisnes. Paling saya suka buku resipi atau masakan.

Saya ada banyak blog, antaranya:

1. JURNAL EDITOR DI RUMAH

Blog tentang suri rumah dan bekerja dari rumah.

You're invited to an
hifzaila.blogspot.my

 

2. THE DAPUR DIARY

Blog himpunan resipi mudah dan ringkas. Saya juga kumpulkan resipi keluarga di blog ini.

The Dapur Diary
thedapurdiary.wordpress.com

 

3. HIF BOOKSTORE

Blogshop saya yang menjual buku dan ebook.

The
hifbookstore.blogspot.my

 

Harapan saya, ingin konsisten menulis dan terus menjana pendapatan melalui penulisan selain membantu penulis lain menambah baik manuskrip mereka untuk diterbitkan.

Salam perkenalan, ZH